
KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam beberapa hari ini mengenai pembayaran interim untuk negeri itu.
Anwar berkata, perkara itu akan diperhalusi dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara serta pendekatan yang sesuai untuk Sarawak.
Katanya, pembayaran interim itu kemungkinan akan diumumkan pada 16 September sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching.
“Oleh itu, saya akan terus bincang dalam beberapa hari ini dengan Premier (Sarawak). Mudah-mudahan sebaik hari 16 Sept, Hari Malaysia di Kuching, saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar berkata, Sarawak turut mengemukakan pandangan supaya satu formula yang lebih jelas diperkenalkan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, kemampuan semasa serta kadar minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.
“Sarawak juga ada kemukakan pandangan mengenai formula yang patut diperkenalkan supaya jelas formula itu mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan, kadar yang minimum yang boleh dipertimbangkan dan juga kadar maksimum.
“Saya setuju dan telah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan Sarawak untuk bincangkan tentang memperkenalkan formula,” kata beliau.
Mengulas mengenai bayaran interim untuk Sabah, Anwar berkata, kerajaan telah bersetuju menaikkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion bagi negeri itu mulai tahun ini sementara rundingan mengenai perkara berkenaan diteruskan.
Beliau berkata jumlah itu dijangka dapat disalurkan pada akhir Oktober atau awal November selepas persidangan Parlimen pada Oktober.
Pada 30 Mei lepas, Perdana Menteri dilaporkan berkata, geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion daripada RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam MA63. – BERNAMA
The post Bayaran interim Sarawak dijangka diumum Hari Malaysia appeared first on Kosmo Online.





