
PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan akan terus membuka luas ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan hak serta kepentingan kedua-dua negeri itu terus dihormati dan dipelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan berkenaan akan dilaksanakan berteraskan semangat perpaduan sebagai rakan dalam persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus membuka seluas-luasnya ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, berteraskan semangat perpaduan sebagai rakan dalam Persekutuan.
“Ini sekali gus memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di sini hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menurutnya, mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan persetujuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain meneliti beberapa perkara strategik yang menyentuh secara langsung kepentingan serta masa depan Sabah dan Sarawak.
“Antara perkara utama dibincangkan termasuk Inisiatif Pemerkasaan Keselamatan Sempadan Sabah dan Sarawak, pertambahan perjawatan serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Turut diberi perhatian ialah Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Anwar berkata, setiap perkara diteliti secara tuntas dalam semangat Persekutuan yang kukuh dengan tekad memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak diterjemahkan melalui keputusan dan pelaksanaan yang berkesan.
“MA63 bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang saban tahun, ia adalah amanah dan iltizam nasional yang mesti kita lunaskan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.
“Apa yang telah dipersetujui harus dilaksanakan, manakala perkara yang masih belum selesai mesti terus dirunding dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan semangat muafakat.
“Insya-Allah, kita akan ketemu semula di Kuching, Sarawak minggu hadapan bagi meraikan Hari Malaysia, menginsafi sejarah pembentukan negara dan memperteguh tekad untuk membina sebuah Malaysia yang lebih utuh, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya. –UTUSAN
The post Kerajaan terus buka ruang dengan rundingan Sabah, Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.






