
IPOH – Perbuatan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menikam bayi yang baru dilahirkan sehingga maut terbongkar selepas dia menceritakan kejadian itu kepada seorang kenalan yang kemudian membuat laporan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai bertindak menikam bayi perempuan itu sebelum meminta bantuan teman lelakinya untuk menanam mayat mangsa di belakang rumah.
Katanya, kejadian di Pantai Remis itu berlaku pada Sabtu lalu sebaik bayi tersebut dilahirkan.
“Suspek merupakan ibu kandung mangsa dan dia sendiri yang menikam bayi itu. Berdasarkan pemeriksaan, terdapat dua kesan tikaman di bahagian dada.
“Selepas kejadian, suspek memanggil teman lelakinya untuk membantu menanam mayat bayi tersebut di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.
Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
Ibu bayi malang itu dan teman lelakinya direman selama enam hari bermula kelmarin hingga 23 November ini bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE
The post Bayi baru lahir maut ditikam ibu kandung appeared first on Kosmo Online.






