
Bayi perempuan yang dilahirkan positif dadah di Kota Bharu kini stabil dan bebas gejala penarikan di bawah pemantauan hospital.
KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan yang didapati positif dadah selepas dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini minggu lepas, kini stabil dan bebas gejala penarikan (withdrawal symptom).
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Kasuadi Hussin berkata bayi berkenaan masih dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan dan mula menunjukkan perkembangan positif.
“Bayi ini masih dalam pemantauan dan sudah mula membuang air besar, kencing dan boleh menyusu,” katanya pada sidang media di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) di Pengkalan Chepa, hari ini.
Pada 12 Ogos lepas, bayi perempuan itu didapati positif amphetamine dan benzodiazepines selepas menjalani saringan air kencing di NICU hospital berkenaan.
Susulan itu, polis menahan ibu bayi tersebut berumur 30 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






