Bayi positif dua jenis dadah stabil, tidak lagi guna alat bantuan pernafasan

LocalHealth & Fitness
19 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bayi positif dua jenis dadah stabil, tidak lagi guna alat bantuan pernafasan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Bayi perempuan berusia lima bulan yang disahkan positif dua jenis dadah kini berada dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan sebarang simptom ketagihan.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Kasuadi Hussin berkata bayi berkenaan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Menurutnya, perkembangan kesihatan bayi itu juga semakin baik apabila tidak lagi bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Bayi berkenaan turut boleh menyusu seperti biasa selepas menunjukkan perkembangan kesihatan yang baik.

“Pada masa sama, Unit Kebajikan Sosial Perubatan HRPZII turut menjalankan penilaian bagi menentukan sama ada bayi berkenaan sesuai diserahkan kepada ahli keluarga atau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, media melaporkan bayi perempuan berkenaan yang ketika itu berusia lima hari didapati positif dadah jenis amphetamine dan benzodiazepines.

Dua jenis bahan terlarang itu dikesan menerusi saringan air kencing ketika bayi terbabit menerima rawatan di NICU HRPZII pada 6 Ogos lalu, manakala siasatan mendapati bayi berkenaan terdedah kepada bahan tersebut ketika masih dalam kandungan.

Media hari ini turut melaporkan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata ujian air kencing terhadap ibu bayi berusia 30-an itu hanya positif benzodiazepines.

Menurutnya, wanita terbabit mendakwa mengambil ubat penenang bagi merawat masalah ‘anxiety’ yang dihadapinya sehingga menyebabkan dua beranak berkenaan positif dadah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved