
KOTA BHARU – Perbuatan seorang wanita yang mengambil ubat ‘anxiety’ atau kegelisahan ketika hamil dipercayai menjadi punca bayi yang dilahirkannya positif dadah jenis benzodiazepine atau benzo lebih dua minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif benzo atau sejenis ubat penenang dan bukan dadah berbahaya seperti syabu atau methamphetamine.
Katanya, wanita itu memberi alasan bahawa ubat berkenaan diambil bagi merawat masalah anxiety yang dialaminya ketika hamil.
“Kesan daripada ubat itu menyebabkan ujian saringan air kencingnya positif benzo dan bukannya dadah jenis syabu atau methamphetamine.
“Wanita itu buat masa ini ditahan berdasarkan keputusan urin yang diperoleh. Kita juga menjalankan ujian pusingan kedua terhadap bayi berkenaan yang dilaporkan positif dua jenis dadah,” katanya pada sidang media selepas Program Aktiviti Riadah Bermotosikal/Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) Sempena Hari Polis Ke-219 Dan Sambutan Ambang Merdeka Ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan ketika ini berdasarkan keputusan semasa ujian air kencing wanita itu sementara menunggu keputusan lanjut daripada ujian pusingan kedua terhadap anaknya.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memantau keadaan seorang bayi yang disahkan positif dadah selepas dilahirkan termasuk perkembangan kesihatannya sepanjang menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu makan ubat ‘anxiety’ ketika hamil punca lahirkan bayi positif dadah appeared first on Kosmo Digital.






