Bayi tujuh bulan maut akibat tekanan pada leher, pengasuh direman - Polis

LocalFamily & Parenting
21 May 2026 • 1:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bayi tujuh bulan maut akibat tekanan pada leher, pengasuh direman - Polis
Punca kematian bayi lelaki berusia tujuh bulan ketika sedang tidur di dalam buaian di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan di sini pada Selasa lalu, disebabkan tekanan pada leher.
Image from: Bayi tujuh bulan maut akibat tekanan pada leher, pengasuh direman - Polis
Pengasuh wanita direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

SEREMBAN - Punca kematian bayi lelaki berusia tujuh bulan ketika sedang tidur di dalam buaian di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan di sini pada Selasa lalu, disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, keputusan itu diperolehi hasil bedah siasat dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau selama lima jam.

"Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif pada jam 11 pagi sehingga 4 petang di Hospital Rembau semalam mengesahkan terdapat tekanan di leher si mati.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi tujuh bulan meninggal dunia dalam buaian di rumah pengasuh

"Kita masih menunggu keputusan ujian lanjutan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

**media[3528045]**

Menurutnya, pengasuh wanita berusia 38 tahun itu telah pun direman enam hari bermula pada Rabu hingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau turut memaklumkan pengasuh tersebut tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya mengambil upah menjaga kanak-kanak secara persendirian.

Sebelum ini Azahar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 10 malam pada Selasa lalu selepas pengadu iaitu ibu bayi terbabit memaklumkan telah menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.

Hasil siasatan mendapati, bayi terbabit telah dijaga pengasuh sejak Disember 2025 dan ketika kejadian, pengasuh dipercayai menidurkan bayi itu di dalam buaian dengan mulutnya diberikan puting jenis silikon.