
SHAH ALAM, 11 OGOS: Seorang bayi perempuan berusia setahun empat bulan dipercayai menjadi mangsa dera sehingga maut di tangan nenek tirinya yang menjaganya sejak dilahirkan, dalam kejadian di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi pada 31 Julai lalu.
Mangsa merupakan anak tidak sah taraf, ditinggalkan di bawah jagaan wanita berusia 39 tahun itu kerana ibunya yang berusia 18 tahun masih melanjutkan pengajian di kolej, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai memukul dan memijak mangsa menggunakan tangan serta kaki sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Menurutnya, polis pada mulanya menerima laporan daripada suspek sendiri pada jam 9.30 pagi, 31 Julai lalu yang mendakwa bayi berkenaan ditemui tidak sedarkan diri ketika tidur di rumahnya.
"Wanita itu mendakwa bayi berkenaan tidak memberi sebarang tindak balas ketika cuba dikejutkan. Petugas kesihatan yang tiba di lokasi menjalankan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Beliau berkata, siasatan pada peringkat awal dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang pada 2 Ogos lalu mendapati punca kematian adalah akibat trauma pada bahagian dada dan perut disebabkan hentakan objek tumpul.
"Pemeriksaan turut menemukan kesan lebam dan luka pada badan mangsa yang dipercayai berpunca daripada perbuatan penderaan," katanya.
Susulan penemuan itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis kemudian menahan nenek tiri, datuk dan ibu mangsa bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan telah diterima untuk mendakwa nenek tiri mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok.
"Datuk dan ibu mangsa pula dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan," katanya.





