MELAKA - Seorang pengasuh dan suaminya direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes kecederaan fizikal membabitkan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.32 pagi Rabu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah rumah kediaman di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami benjolan pada bahagian dahi serta lebam di bahagian belakang badan.
“Siasatan awal mendapati pengasuh pada mulanya memaklumkan kecederaan itu berlaku akibat mangsa terhantuk pada lantai dan tersangkut di bawah katil ketika merangkak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, bagaimanapun punca sebenar kecederaan yang dialami mangsa masih belum dapat dipastikan dan sedang dalam penelitian pegawai perubatan.
**media[3584621]**
Katanya, mangsa kini menerima rawatan dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Melaka.
Katanya, pasangan suami isteri 34 dan 41 tahun itu ditahan sekitar jam 11.30 malam pada Rabu.
“Hasil semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.
“Kedua-dua suspek hingga 22 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.




