
KUANTAN: Baharu berusia sembilan bulan, Nayla Ameena Mohd. Azamirrizan sudah melalui tiga pembedahan besar akibat hydrocephalus iaitu penyakit yang menyebabkan kepalanya membesar luar biasa kerana pengumpulan lebihan cecair dalam otak.
Ia bukan sahaja menguji badan kecil kanak-kanak itu, malah mengubah kehidupan ibu bapanya yang perlu berulang-alik ke hospital hampir setiap minggu demi memastikan anak sulung mereka mendapat rawatan terbaik.
Ibunya, Nurul Najwa Nabila, 24, berkata, keadaan itu dikesan ketika berlaku perubahan luar biasa pada bahagian kepala.
Katanya, selepas rambut Nayla Ameena dicukur pada 4 Januari lalu, urat di kepala kelihatan terlalu jelas manakala ubun-ubunnya semakin meninggi dari hari ke hari.
“Pembedahan pertama dilakukan ketika berusia kira-kira sebulan, tujuh bulan dan terbaharu Julai lalu apabila menjalani pembedahan kali ketiga untuk memasukkan tiub shunt (peranti pintasan) bagi menyalurkan lebihan cecair ke bahagian perut.
“Tiub itu perlu digunakan seumur hidup. Selepas pembedahan berlaku pula pendarahan di bahagian kiri kepala sedangkan pembedahan dilakukan di sebelah kanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul Najwa Nabila berkata, dia dan suami, Mohd. Azamirrizan Udin, 35, berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kira-kira 35 kilometer (km) dari Felda Lepar Hilir 1 di sini yang kadangkala dua kali seminggu.
“Apabila Nayla Ameena kerap tidak sihat, suami yang bekerja sebagai pemandu lori terpaksa mengambil cuti untuk membawanya ke hospital. Sebelum ini, dia cuti hampir dua bulan kerana keadaan anak yang membimbangkan. Pendapatan pasti terjejas kerana menerima gaji berdasarkan perjalanan.
“Kalau banyak cuti, gaji suami kadangkala tidak cukup untuk bayar komitmen bulanan. Kami terpaksa guna simpanan yang ada dan ada juga bantuan rakan-rakan. Perbelanjaan susu dan lampin walaupun sekitar RM300 sebulan tetapi kos ulang-alik ke hospital serta kehilangan pendapatan apabila suami bercuti membuatkan kami cukup terkesan,” katanya.
Katanya, kekuatan untuk terus menghadapi dugaan banyak datang daripada suami yang sentiasa memberikan semangat dan tidak pernah mengeluh.
“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini tetapi kami cuba hadap satu demi satu. Apa yang penting Nayla Ameena terus mendapat rawatan dan kami akan lakukan apa sahaja yang termampu untuknya,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 156226420589 atas nama Nurul Najwa Nabila. – UTUSAN
The post Bayi sembilan bulan jalani pembedahan kepala tiga kali appeared first on Utusan Malaysia.






