
SEREMBAN, 21 MEIL Pengasuh yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan dekat sini, Selasa lepas direman enam hari hingga 25 Mei ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata reman terhadap wanita berusia 38 tahun yang bermula semalam itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Hasil bedah siasat belum diperoleh bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan bayi terbabit dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan pengasuh berkenaan di rumahnya di Bandar Sri Sendayan.
Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas usaha bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan.
Hasil siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dikatakan ditidurkan di dalam buaian serta diberikan puting jenis silikon.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan Muhammad Yusry Che Dah berkata hasil siasatan mendapati rumah jagaan berkenaan tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kelulusan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Berdasarkan laporan awal, beberapa kanak-kanak berada di bawah jagaan wanita itu dan kita arahkan rumah itu supaya tidak beroperasi...kebanyakan kes melibatkan kematian atau kecederaan kanak-kanak berlaku di rumah pengasuh dan taska yang tidak berdaftar,” katanya.
Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memilih taska yang berdaftar bagi memastikan anak masing-masing diasuh serta dijaga mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Kita ingin mendidik masyarakat supaya menghantar anak ke taska berdaftar kerana premis yang diluluskan telah melalui pemeriksaan keselamatan dan pemantauan sewajarnya bukan sahaja dari JKM tetapi bomba, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.
“Jangan hanya melihat faktor murah kerana ia melibatkan nyawa kanak-kanak. Ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dari awal,” katanya.
Muhammad Yusry turut menyeru pengasuh atau petugas pusat asuhan untuk mengikuti kursus Asuhan Permata secara percuma di negeri ini bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai kaedah penjagaan kanak-kanak yang selamat serta pengendalian situasi kecemasan.
-- BERNAMA
