
KUALA LUMPUR – Penggunaan ‘beacon’ atau suar tidak memberikan hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penggunaan lampu amaran khas pada sesebuah kenderaan tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
“Walau bagaimanapun, kebenaran menggunakan lampu suar atau siren tidak dengan sendirinya memberikan hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan.
“Penggunaan lampu amaran atau siren juga tidak boleh dianggap sebagai kebenaran untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kawasan kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Beliau berkata, di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hak keutamaan mengatasi lalu lintas lain ketika menjalankan tugas kecemasan hanya diperuntukkan kepada kenderaan tertentu.
Katanya, kenderaan berkenaan ialah ambulans, kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Kenderaan-kenderaan tersebut hendaklah memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada sebagaimana yang diperuntukkan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pemandu lori Isuzu Black Maria milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (Trafik) hari ini.
Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kematian tiga mangsa.
Dalam kejadian itu, seorang bapa dan dua anaknya disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isteri kepada mangsa lelaki serta ibu kepada dua mangsa yang maut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Beacon’ bukan lesen langgar lampu merah appeared first on Kosmo Digital.






