
KUALA LUMPUR: Penggunaan lampu amaran khas atau `beacon’ tidak memberikan sebarang `kekebalan’ kepada mana-mana kenderaan agensi penguatkuasaan untuk melanggar undang-undang jalan raya termasuk lampu isyarat merah, melebihi had laju atau menyekat pengguna jalan raya lain.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali menegaskan, kenderaan terbabit juga perlu memastikan laluan termasuk simpang yang mereka lalui, benar-benar selamat bagi mengelak risiko kemalangan kepada pengguna.
Ini kerana katanya, penggunaan lampu amaran khas (beacon) pada sesebuah kenderaan adalah tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
“Di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hak keutamaan mengatasi lalu lintas lain semasa menjalankan tugas kecemasan diperuntukkan kepada kenderaan tertentu iaitu ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara serta Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Kenderaan-kenderaan tersebut hendaklah memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada sebagaimana yang diperuntukkan.
“Mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959, pengguna jalan raya perlu memberi laluan kepada kenderaan penguat kuasa atau kecemasan yang sedang menjalankan tugas rasmi.
“Pada masa sama, tindakan sengaja menghalang, memblok atau mengikut rapat (tailgating) kenderaan pasukan yang sedang menjalankan tugas dalam mod kecemasan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Muhammed Hasbullah diiringi Ketua JSPT Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa bersama pegawai-pegawai kanan JSPT Bukit Aman dan Kuala Lumpur, melihat sendiri lokasi kejadian yang meragut nyawa tiga sekeluarga selepas dipercayai dilanggar lori Jabatan Imigresen, semalam.
Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata, pemasangan atau penggunaan lampu beacon pada kenderaan persendirian, persatuan atau kenderaan awam tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.
Jelasnya, mengikut Kaedah 24B-1, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1999 (Pindaan 2024), kenderaan motor dilarang dipasang lampu amaran khas itu kecuali kenderaan yang disenaraikan secara khusus di bawah Jadual Keenam.
Jelasnya, sebarang penggunaan lampu `beacon’ di luar senarai kenderaan yang dibenarkan pula memerlukan kelulusan Menteri Pengangkutan atas syor Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seperti diperuntukkan di bawah Kaedah 24B-2.
Tambahnya, PDRM pada 23 Jun lalu telah mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguat kuasa bagi memastikan pemahaman dan penyelarasan berkaitan undang-undang jalan raya, termasuk pematuhan Kaedah 24B serta penggunaan warna lampu beacon mengikut spesifikasi ditetapkan.
Kata beliau, perkara itu penting bagi mengelakkan penggunaan lampu amaran khas disalah tafsir seolah-olah memberikan keutamaan mutlak sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN
The post Lampu amaran khas bukan `lesen’ langgar undang-undang jalan raya – Bukit Aman appeared first on Utusan Malaysia.






