
KUALA LUMPUR - Penggunaan lampu amaran khas atau beacon pada kenderaan agensi penguat kuasaan tidak bermakna kenderaan berkenaan kebal daripada mematuhi undang-undang jalan raya, termasuk kewajipan mematuhi lampu isyarat, had laju serta mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata kenderaan yang menjalankan tugas kecemasan juga perlu memastikan laluan yang dilalui, termasuk di setiap persimpangan, benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan risiko kemalangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Penggunaan lampu amaran khas (beacon) pada kenderaan adalah tertakluk kepada Jadual Keenam (Peraturan 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
“Di bawah Peraturan 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, keutamaan berbanding trafik lain ketika menjalankan tugas kecemasan diberikan kepada kenderaan tertentu, iaitu ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kenderaan berkenaan hendaklah memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada seperti yang ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, berdasarkan Peraturan 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, pengguna jalan raya perlu memberikan laluan kepada kenderaan penguat kuasaan atau kecemasan yang sedang menjalankan tugas rasmi.
"Bagaimanapun, pengguna jalan raya yang sengaja menghalang, menyekat atau mengekori terlalu rapat kenderaan pasukan yang sedang menjalankan tugas kecemasan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pemasangan atau penggunaan lampu beacon pada kenderaan persendirian, persatuan atau kenderaan awam tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan.
Menurut Peraturan 24B-1, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1999 (Pindaan 2024), kenderaan motor dilarang dipasang lampu amaran khas berkenaan, kecuali kenderaan yang secara khusus disenaraikan dalam Jadual Keenam.
Beliau berkata penggunaan lampu beacon bagi kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai tersebut memerlukan kelulusan Menteri Pengangkutan berdasarkan syor Ketua Pengarah JPJ, seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 24B-2.
Muhammed Hasbullah turut memaklumkan, PDRM mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguat kuasaan pada 23 Jun lalu bagi memastikan pemahaman dan penyelarasan berkaitan undang-undang jalan raya, termasuk pematuhan terhadap Peraturan 24B serta penggunaan warna lampu beacon mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan penggunaan lampu amaran khas disalah tafsir seolah-olah ia memberikan keutamaan mutlak kepada sesebuah kenderaan sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. - Getaran, 20 Ogos 2026






