
MAHASISWA yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada penggarapan ilmu di bilik kuliah terpaksa pula memikirkan belanja untuk harga makanan, sewa bilik kediaman, tambang pengangkutan, internet, komputer, buku dan pelbagai keperluan lain.
Pada akhir pengajian, mereka perlu pula memikirkan beban membayar hutang pengajian pendidikan yang ansurannya memakan masa bertahun-tahun.
Golongan muda yang berusaha merealisasikan jejak kaki mereka ke pusat pengajian tinggi terpaksa membuat pinjaman, demi kelangsungan mereka di institusi pendidikan.
Persoalannya, mengapa pendidikan tinggi masih memerlukan sebahagian besar anak muda memulakan kehidupan dewasa dengan berhutang?
Ini bukan persoalan terpencil kerana selepas tamat pengajian di universiti, seseorang graduan bukan sahaja perlu mencari pekerjaan tetapi dia perlu membayar sewa rumah, membantu ibu bapa, membeli kenderaan untuk pengangkutan, menanggung keluarga sendiri dan menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi ‘Program Bank Makanan Dapur Siswa’ pada 2026 untuk membantu mahasiswa yang menghadapi tekanan kewangan tetapi kewujudan program tersebut membawa suatu mesej yang tidak boleh diketepikan iaitu masalah kos makanan dalam kalangan mahasiswa menjadi amat perit sehingga kerajaan perlu menyediakan intervensi khusus.
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah, termasuk bantuan makanan, Menu Siswa, Dapur Siswa dan Biasiswa Anak eKasih dalam Belanjawan 2026. Namun, dasar yang baik mesti terus dinilai berdasarkan kesannya di lapangan.
Jika masih ada mahasiswa yang terpaksa mengurangkan makanan untuk membeli keperluan akademik atau bekerja sehingga menjejaskan pengajian, bermakna masih ada ruang yang perlu diperbaiki.
Jika harga makanan dan penginapan meningkat, keluarga tidak mampu menghantar wang dan pekerjaan selepas graduasi tidak sepadan dengan kelayakan, masalah itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan menyuruh mahasiswa berjimat atau bersabar.
Universiti perlu mempunyai mekanisme pantas untuk mengenal pasti mahasiswa yang menghadapi kesukaran, manakala bantuan kerajaan perlu disalurkan dengan mudah, cepat dan tanpa birokrasi yang berlebihan.
Mahasiswa hari ini ialah tenaga kerja negara pada dekad akan datang.
Jika mereka bergraduan dengan hutang yang besar, simpanan yang terhad dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan, kesannya akan turut dirasai melalui pembentukan keluarga, pemilikan rumah, mobiliti sosial dan produktiviti negara.
Matlamat bantuan bukan untuk menjadikan mahasiswa bergantung selama-lamanya, tetapi memastikan mereka tidak perlu meminta bantuan untuk perkara asas seperti makanan ketika sedang berjuang di institusi pengajian tinggi.
Jika graduan Malaysia terpaksa berhutang untuk belajar dan mengikat perut untuk kesinambungan pengajian, sudah tiba masanya kerajaan bertanya:
Berapa lama lagikah kita mahu menganggap pendidikan tinggi sebagai jalan menuju masa depan yang lebih baik, sedangkan sebahagian mahasiswa masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas? – UTUSAN
RMATT ZALEE
PhD
The post Beban hutang dan ikat perut realiti hidup mahasiswa appeared first on Utusan Malaysia.



