Bebas siasatan SPRM, penganalisis positif terhadap prospek pertumbuhan Sunway Construction

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2025 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bebas siasatan SPRM, penganalisis positif terhadap prospek pertumbuhan Sunway Construction

image is not available

22/08/2025 - 11:06

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Sunway Construction Group Berhad menerima suntikan keyakinan baharu terhadap integriti urus tadbir korporatnya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kumpulan itu serta anak syarikatnya bebas daripada sebarang siasatan sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhannya, kata penganalisis.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, kumpulan itu juga bebas daripada siasatan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan liabiliti korporat terhadap sesebuah organisasi sekiranya kawalan dalaman didapati tidak mencukupi sehingga membolehkan berlakunya perbuatan rasuah oleh individu – walaupun syarikat tidak menerima sebarang manfaat secara langsung.

Katanya, dalam konteks itu, pengesahan SPRM beri isyarat bahawa Sunway Construction tidak berdepan sebarang liabiliti kewangan atau undang-undang berhubung insiden tersebut.

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan itu merupakan sesuatu yang positif kepada syarikat kerana ia tidak ia tidak akan menanggung liabiliti kewangan akibat isu tersebut dan ia membantu memulihkan reputasi Sunway Construction sebagai kontraktor berintegriti.

"Pada masa sama kumpulan itu kekal aktif dalam segmen pembinaan pusat data dengan tender aktif melebihi 760MW ketika ini.

"Setakat ini, syarikat telah menyiapkan projek DC berjumlah 108MW, termasuk fasiliti penyejukan cecair (liquid cooled) yang canggih. Ia juga telah berjaya menyiapkan projek untuk pelanggan skala besar seperti K2 dan Yellowwood lebih awal daripada jadual.

“Kami masih melihat potensi positif terhadap prospek SunCon dalam segmen pusat data. Rekod pelaksanaan yang semakin meluas memberikan kelebihan daya saing, terutamanya dalam projek hiperskala,” katanya dalam satu nota kajian.

Sementara itu, MBSB Research berkata, Sunway Construction akan terus meraih manfaat daripada aliran projek yang kukuh dan momentum sektor pembinaan yang stabil, dengan sektor tersebut mencatat pertumbuhan +12.9% tahun ke tahun pada suku kedua tahun 2025.

Katanya, portfolio pusat data syarikat kekal sebagai pemacu utama pendapatan, dengan beberapa fasa pembangunan lagi dijangka akan dilaksanakan, disokong oleh pengambilalihan tanah berskala besar oleh pengendali global serta aktiviti tender yang giat dijalankan.

"Sehingga Jun 2025, jumlah buku tempahan tertunggak kumpulan berjumlah RM6.72 bilion, dengan hampir separuh daripadanya terdiri daripada projek pusat data, termasuk kontrak terkini bernilai RM1.16 bilion bagi kerja-kerja kontraktor utama untuk dua pakej pusat data yang dianugerahkan oleh sebuah syarikat multinasional (MNC) berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

"Di luar segmen pusat data dan fasiliti teknologi, kumpulan turut mempelbagaikan penglibatan dalam projek infrastruktur berskala besar, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI), sambil terus memperkukuh rekod prestasi dalam projek komersial serta kerja dalaman daripada Sunway Berhad," katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, difahamkan kumpulan itu masih dalam pertimbangan untuk memperoleh kontrak pusat data daripada Pearl Computing dalam masa terdekat.

Katanya, syarikat teknologi multinasional yang telah menganugerahkan kontrak pusat data bernilai RM1.15 bilion kepada Sunway Construction pada bulan Mei juga sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan Fasa 2. - DagangNews.com

standard