Prospek pertumbuhan Apex Healthcare diyakini positif didorong pelancaran produk baharu jenama sendiri - PublicInvest

21/08/2025 - 10:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Prospek pertumbuhan jangka panjang Apex Healthcare Berhad diyakini kukuh dipacu permintaan kukuh di dalam pasara serta pelancaran produk baharu jenama sendiri, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, bagi keputusan 2QFY25, kumpulan itu mencatatkan penurunan untung bersih sebanyak 20.4% kepada RM18.8 juta, terkesan terutamanya oleh prestasi lemah syarikat bersekutu, Straits Apex Group (SAG).
Setelah menolak item bukan operasi, keuntungan bersih teras susut 22.2% kepada RM18.5 juta, lebih rendah daripada jangkaan syarikat dan pasaran.
"Beberapa cabaran luaran seperti ketaktentuan kadar tukaran mata wang asing, halangan perdagangan global yang semakin meningkat, serta ketidaktentuan ekonomi dunia, terus memberi tekanan kepada prestasi syarikat bersekutunya.
"Bagaimanapun, asas perniagaan Apex Healthcare kekal kukuh. Pendapatan bagi suku kedua meningkat 0.8% YoY kepada RM240.6 juta, disokong oleh permintaan yang stabil terhadap produk farmaseutikal, penjagaan kesihatan pengguna dan peranti perubatan di pasaran utama," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu telah melancarkan 10 produk baharu berjenama sendiri dalam separuh pertama FY25 (1HFY25), yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan hasil dalam suku-suku akan datang.
Katanya, segmen pembuatan mencatatkan pertumbuhan 1.5% kepada RM22.2 juta, manakala segmen pengedaran meningkat 0.8% kepada RM218.4 juta, menunjukkan daya tahan operasi yang berterusan.
"Meskipun menghadapi tekanan dalam jangka pendek, Apex Healthcare kekal berada di landasan pertumbuhan jangka panjang menerusi pelancaran produk baharu yang konsisten dan asas operasi yang kukuh.
"Keupayaan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi yang mencabar serta mengekalkan permintaan pasaran menjadikannya antara pemain utama yang berdaya tahan dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia," katanya.
PublicInvest mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.28 sesaham. - DagangNews.com
standard
