Beberapa kawasan dijangka alami jerebu tebal pada 31 Ogos - MetMalaysia

LocalEnvironment
27 Aug 2026 • 11:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Beberapa kawasan dijangka alami jerebu tebal pada 31 Ogos - MetMalaysia
Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 31 Ogos.

PUTRAJAYA - Analisis model ramalan cuaca yang dipantau oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan beberapa kawasan di negara ini kekal berisiko mengalami cuaca berjerebu dengan jarak penglihatan terhad bagi tempoh 27 hingga 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu susulan pengaruh angin barat daya serta jumlah titik panas yang masih tinggi di selatan Sumatera dan barat Kalimantan.

"Ramalan model kepekatan jerebu MyCMAQ (Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia) menunjukkan Sarawak berpotensi menjadi kawasan paling terkesan, dengan kebanyakan daerah dijangka mengalami cuaca berjerebu pada tahap Tidak Sihat.

"Beberapa daerah juga berpotensi mencapai tahap Sangat Tidak Sihat pada 30 dan 31 Ogos," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan cuaca berjerebu dijangka berlaku di Sabah mulai Sabtu ini manakala kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 31 Ogos.

"MetMalaysia sedang memantau keadaan ini secara berterusan dan akan mengemas kini ramalan berdasarkan perubahan cuaca dan keadaan atmosfera terkini," katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan mengubah skala atau lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos susulan situasi jerebu yang dihadapi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memohon rakyat negara ini mendoakan agar keadaan itu terkawal menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia memandangkan persiapan membabitkan jentera kerajaan sedang giat dilaksanakan untuk menyambut kedua-dua acara tahunan itu. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved