Bedah teruja perbaharui MyKad Generasi Baharu pada usia 102 tahun

1 Oct 2026 • 1:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bedah teruja perbaharui MyKad Generasi Baharu pada usia 102 tahun
Bedah menunjukkan MyKad Generasi Baharu yang diperolehinya pada Khamis.
Image from: Bedah teruja perbaharui MyKad Generasi Baharu pada usia 102 tahun
Dari kiri Sopeah, Bedah dan Ghazali menunjukkan MyKad Generasi Baharu masing-masing.
Image from: Bedah teruja perbaharui MyKad Generasi Baharu pada usia 102 tahun
Anuar (empat kanan) menyerahkan MyKad Generasi Baharu kepada Bedah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Anak Bukit.
Image from: Bedah teruja perbaharui MyKad Generasi Baharu pada usia 102 tahun
Bedah memperbaharui MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Anak Bukit.

ALOR SETAR – Usianya sudah mencecah 102 tahun, namun Bedah Salleh masih lincah dan tidak betah duduk diam di rumah.

Warga emas dari Kampung Baru, Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah itu membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk terus aktif apabila hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Anak Bukit di sini bagi memperbaharui MyKad Generasi Baharu.

Lebih menarik, urusan itu menjadi kali keempat buat Bedah menukar dokumen pengenalan dirinya sepanjang hidupnya.

Bedah ditemani dua anaknya, Sopeah Majid, 80, dan Ghazali A Majid, 76, yang turut memperbaharui MyKad dan dibantu cucunya yang membawanya ke JPN Kedah.

**media[3664360]**

Menurut Bedah, kad pengenalan pertamanya suatu ketika dahulu hanya menggunakan kertas sebelum dia melalui beberapa perubahan sistem pengenalan diri dan seterusnya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar pada 2014.

“Seronok dapat MyKad baharu,” katanya ringkas ketika ditemui selepas selesai urusan berkenaan pada Khamis.

Bedah mempunyai dua anak, tujuh cucu dan tujuh cicit, manakala suaminya, Majid Saad, meninggal dunia pada 2013 pada usia 93 tahun akibat sakit tua.

**media[3664361]**

Bedah berkata, dia masih mengingati suasana ketika Perang Dunia Kedua ketika usianya remaja, termasuk pernah melihat pesawat Jepun berada di ruang udara.

Menurutnya, sepanjang usia muda antara 30 hingga 40 tahun, dia jarang tidur pada waktu siang dan lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja termasuk membanting tulang di sawah.

“Tok kerja, tanam padi dan banyak bergerak. Kalau tidur siang, badan jadi lemau.

“Tok makan nasi, ulam-ulam, pegaga dan pucuk mengkudu. Kalau makan gulai, tok ambil isi sahaja, kuah tidak ambil.

“Tok minum kopi O dan teh O tanpa susu. Makanan berlemak pun tok tidak makan. Kalau pergi kenduri, tok makan nasi putih dengan acar limau dan ubi sahaja serta minum air kosong,” katanya berkongsi rutin pemakanannya.

Anaknya, Sopeah berkata, ibunya yang tinggal bersamanya sehingga kini masih aktif dan tidak boleh duduk diam.

Menurutnya, di rumah, ada sahaja kerja yang mahu dibuat ibunya seperti mencabut rumput di laman.

“Bila hendak datang buat MyKad, dia seronok dan teruja. Dia tidak suka terperap di dalam rumah dan tidak suka kalau tiada pergerakan,” ujarnya.

**media[3664362]**

Menurut Sopeah, sebaik tiba di JPN Kedah, ibunya terus masuk untuk menyelesaikan urusan dan proses berkenaan berjalan dengan teratur serta pantas.

Sementara itu, Ghazali berkata, ibunya mempunyai masalah darah tinggi dan perlu mengambil ubat, namun daya ingatan Bedah masih kuat.

“Kalau pergi berjalan, dia boleh ingat jalan dan kenal rumah siapa. Kadang-kadang saya sendiri sudah lupa, tetapi ibu masih ingat,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JPN Kedah, Anuar Abd Rahaman berkata, seramai 2,300 orang telah menukar MyKad Generasi Baharu di negeri itu setakat ini sejak pelaksanaannya pada 17 September lalu.

Menurutnya, proses penukaran boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira 30 minit di UTC Kedah, UTC Sungai Petani, UTC Kulim dan JPN Anak Bukit sekiranya tiada masalah.

“Bagi daerah lain, proses berkenaan mengambil masa kira-kira lima hari bekerja.

“Bedah antara warga emas tertua yang telah menukar MyKad Generasi Baharu di Kedah. Umurnya 102 tahun, tetapi berkemungkinan usianya lebih lagi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved