
ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas berusia 102 tahun teruja apabila dibawa dua anaknya untuk mendapatkan MyKad Generasi Baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Anak Bukit, di sini hari ini.
Bedah Salleh dari Kampung Baru Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah masih gagah melangkah ke JPN dan dilihat ceria sepanjang proses membuat MyKad tersebut.
Menurut Bedah, dia berasa sangat seronok apabila berpeluang datang sendiri ke JPN untuk membuat MyKad baharu.
“Hari ini datang buat IC (kad pengenalan) baharu, anak dan cucu bawa. IC lama dah pakai lebih 12 tahun.
“Tok rasa seronok sebab umur 102 tahun dapat IC baharu. Buat IC di sini mudah, proses pun cepat,” katanya ketika ditemui di JPN Anak Bukit, di sini hari ini.
Bedah hadir ditemani dua anaknya iaitu Sopeah A. Majid, 80, dan Ghazali, 76, yang turut sama membuat MyKad baharu bersempena Hari Pendaftaran Negara ke-78.
Katanya, dia mungkin lebih berusia kerana tidak mengingati tahun kelahirannya, namun masih mengingati zaman Perang Dunia Kedua ketika usianya kira-kira 14 tahun.
“Tok anak keempat daripada lima beradik dengan semua adik beradik sudah meninggal dunia. Tok wan (suami) juga telah meninggal dunia akibat sakit tua ketika usia 93 tahun pada 2013,” katanya yang mempunyai dua anak, tujuh cucu dan tujuh cicit.
Berkongsi rahsia kekal bertenaga pada usia 102 tahun, Bedah berkata, dia mengamalkan makanan ringkas seperti nasi putih, ulam-ulaman termasuk pegaga dan pucuk mengkudu serta air kosong.
“Setiap pagi tok akan makan nasi putih tanpa lauk dan kopi O, tengah hari nasi putih dan lauk. Lauk biasanya ikan kering dan ikan goreng serta ubi rebus. Kalau gulai, tok hanya ambil isi, tak makan kuah. Nasi lemak dan roti canai memang tok tak makan,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga gemar berkebun kerana tanpa aktiviti badannya akan berasa kurang sihat, selain menasihatkan golongan muda supaya tidak tidur pada waktu siang kerana badan akan menjadi lemah.
Anaknya, Ghazali berkata, ibunya hanya menghidap penyakit darah tinggi, namun terkawal selain mempunyai sedikit masalah pendengaran.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPN Kedah, Anuar Abd Rahaman berkata, pihaknya setakat ini menerima kira-kira 2,300 permohonan bagi MyKad Generasi Baharu.
“Hari ini wanita warga emas berusia 102 tahun yang masih sihat datang ke JPN untuk membuat MyKad Generasi Baharu. Setakat ini wanita terbabit merupakan pemohon tertua di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Seronoklah, umur 102 tahun dapat MyKad baharu’ appeared first on Kosmo Online.






