
KUALA LUMPUR Polis menemui satu lagi beg berisi tulang yang dipercayai milik manusia di kawasan Behor Mali, di Kangar, kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan rangka manusia pada 26 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penemuan terbaru itu dibuat sekitar jam 11 pagi Rabu oleh seorang ahli perniagaan berusia 61 tahun ketika membersihkan kawasan semak di atas tanah yang baru dibeli anak perempuannya.
Menurut beliau, pengadu menemui beberapa tulang yang belum dikenal pasti, bertaburan serta terkeluar daripada sebuah beg putih lama yang koyak.
“Beg berkenaan dipercayai telah ditanam sebahagiannya di dalam tanah dan dilitupi semak tebal berhampiran kawasan rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa barangan lain berhampiran beg tersebut, termasuk seluar dalam yang sudah lusuh dan koyak, sehelai seluar pendek serta seutas tali pinggang yang dipercayai telah berada di situ sejak sekian lama,” katanya hari ini.
Yusharifuddin berkata, keadaan tulang dan barangan ditemui menunjukkan ia berkemungkinan telah ditinggalkan di lokasi berkenaan dalam tempoh yang agak lama.
“Semua bahan bukti telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah bagi menjalankan analisis patologi awal.
“Keputusan awal dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu,” katanya.
Susulan penemuan terbaharu itu, polis kini mengklasifikasikan siasatan sebagai kes bunuh dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Yusharifuddin turut memaklumkan, penemuan tulang manusia berhampiran lokasi sama pada 26 Julai lalu juga telah diklasifikasikan semula di bawah seksyen yang sama.
Sehubungan itu, orang ramai dengan ahli keluarga yang dilaporkan hilang diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes turut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Tengku Moh Farid Tengku Ibrahim di talian 019-993 9200. - Getaran, 6 Ogos 2026






