
KANGAR – Polis mengklasifikasikan semula siasatan penemuan rangka manusia pada 26 Julai lalu dan penemuan beberapa tulang dipercayai milik manusia semalam di Behor Mali, di sini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Md. Yusop berkata, tindakan itu diambil selepas penemuan kedua yang berlaku dalam tempoh kurang dua minggu di kawasan sama.
“Polis menerima maklumat pada pukul 12.55 tengah hari selepas seorang lelaki menghubungi Balai Polis Simpang Empat memaklumkan penemuan beberapa tulang yang terkeluar daripada sebuah guni putih yang lusuh dan koyak.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui beberapa tulang bersama sehelai seluar jenis boxer, sehelai seluar pendek dan satu tali pinggang di dalam guni berkenaan yang dipercayai telah lama ditinggalkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, penemuan itu dibuat seorang lelaki berusia 61 tahun ketika menjalankan kerja membersihkan, menebas semak serta meracun tumbuh-tumbuhan di tanah milik anak perempuannya yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu.
“Pasukan forensik mendapati lokasi penemuan kedua itu berada kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan rangka manusia pertama yang dilaporkan pada 26 Julai lalu.
“Kesemua barang kes telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani analisis patologi dan keputusan awal dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penemuan tulang di Behor Mali: Polis klasifikasikan sebagai kes bunuh appeared first on Kosmo Digital.






