
KANGAR: Polis menerima laporan berhubung penemuan satu lagi guni disyaki berisi tulang manusia di tanah rizab milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sekitar Behor Mali, Kayang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu oleh seorang warga emas berusia 61 tahun pada pukul 12.35 tengah hari.
Katanya, warga emas berkenaan menemukan beberapa tulang tidak dikenal pasti dalam keadaan terkeluar daripada guni putih lusuh dan koyak dengan sebahagiannya tertimbus tanah serta ditutupi semak samun.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pengadu telah ke lokasi tersebut bagi melakukan aktiviti pembersihan, menebas semak-samun dan meracun tumbuh-tumbuhan di tanah berkenaan yang baharu sahaja dibeli oleh anak perempuannya sekitar dua bulan lalu
“Semasa aktiviti pembersihan, pengadu telah menjumpai beberapa tulang tidak dikenal pasti dalam keadaan terkeluar daripada guni putih itu yang bersempadanan antara tanah milik anak perempuanya dengan tanah rizab MADA. Tanpa berfikir panjang, pengadu terus menghubungi balai polis terdekat,” katanya.
Yusharifuddin berkata, hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi berkenaan mendapati terdapat beberapa tulang, sehelai boxer lusuh, sehelai seluar pendek koyak dan satu tali pinggang di dalam guni berwarna putih itu.
Katanya, pasukan forensik juga telah membuat ukuran di mana jarak tempat kejadian adalah lebih kurang 31.1 meter daripada lokasi pertama penemuan tulang dalam keadaan seakan-akan sama sebelum ini.
“Siasatan juga mempercayai tulang dan barangan itu telah lama ditinggalkan. Semua barang kes juga telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,
Kedah untuk analisa awal patalogi dijangka akan diperoleh dalam tempoh seminggu,” katanya.
Ujar beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
26 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai penemuan satu rangka disyaki tulang manusia dalam sekarung guni di sebuah kebun berhadapan sebuah kilang beras di Kampung Behor Mali di sini.-UTUSAN
The post Misteri penemuan satu guni disyaki berisi tulang manusia appeared first on Utusan Malaysia.





