PUTRAJAYA – Beg yang digunakan untuk membawa teks ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada petang ini mempunyai keunikan tersendiri apabila mengetengahkan mesej perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Karya bertajuk Woven Together: A Malaysian Story atau Terjalin Bersama: Sebuah Kisah Malaysia itu menggabungkan seni pertukangan dua karyawan tempatan, David Cho Chee Min dan Amira Wani Jamil, yang berasal daripada generasi serta latar belakang berbeza.
Beg berkenaan menggabungkan dawai keluli, buluh dan kulit yang dikitar guna, sekali gus melambangkan daya tahan, kelestarian serta kekuatan yang terhasil apabila perbezaan disatukan.
Dawai keluli yang digunakan David berasaskan kemahiran diwarisi daripada arwah bapanya, manakala Amira menerapkan pendekatan kreatif menerusi penggunaan pelbagai bahan terpakai yang diberikan fungsi baharu.
Menariknya, beg berbentuk pemegang dokumen itu dibuat oleh isteri David, Jennifer Tan dan dilapisi baldu yang lazim digunakan untuk membuat songkok.
Perbezaan karakter bahan berkenaan tidak disembunyikan, sebaliknya disatukan sehingga membentuk satu corak yang harmoni dan saling melengkapi.
Mesej itu turut membawa gambaran masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, generasi, budaya dan tradisi, namun mampu bergerak bersama demi mencapai matlamat yang dikongsi.
Karya itu mencerminkan semangat Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai Langit, Berpaksikan Nilai-nilai Kita”, dengan penekanan terhadap daya tahan, kelestarian dan nilai bersama sebagai asas kemajuan negara.
Seperti bahan-bahan berbeza yang disatukan untuk menghasilkan karya lebih kukuh, kepelbagaian rakyat Malaysia digambarkan sebagai kekuatan yang membolehkan negara terus maju dan mencapai tahap lebih tinggi.




