
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, di sini bersama ribuan jemaah sebelum membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, petang ini.
Beliau tiba pada 1.04 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair, lengkap bersongkok, sebelum disambut mesra oleh pengurusan masjid serta jemaah yang hadir lebih awal.
Khutbah dibaca oleh Ustaz Hazman Hashim bertajuk ‘Al-Quran Menyatukan Hati, Kasih Merentas Generasi’.
Selesai solat, Perdana Menteri mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum beredar ke Kementerian Kewangan untuk membawa dokumen Belanjawan 2027 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.
Belanjawan 2027 membawa tema “Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, selaras usaha kerajaan mempercepatkan transformasi ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti dan inovasi.
Antara keutamaan yang dijangka diberi penekanan termasuk mempercepatkan peralihan tenaga, memperkukuh keterjaminan makanan, memperluaskan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI), serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Pembentangan Belanjawan 2027 dijangka menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk pemain industri, pelabur dan rakyat, yang menantikan langkah kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa serta merancakkan pertumbuhan negara dalam persekitaran global yang semakin mencabar. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar solat Jumaat di Masjid Putra sebelum bentang Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.



![[LIVE] Saksikan Siaran Langsung Pembentangan Belanjawan 2027 Oleh YAB Perdana Menteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/10/belanjawan-2-300x158.jpg)


