
PUTRAJAYA: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, sebentar tadi dimanfaatkan jemaah untuk bertanyakan mengenai intipati Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan petang ini.
Sejurus selesai solat Jumaat, ada beberapa jemaah mendekati Perdana Menteri ketika beliau berjalan menuju ke kenderaan.
Beberapa perkara dicadangkan termasuk membabitkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan perumahan namun, ia tidak didedahkan lanjut oleh Perdana Menteri.
Anwar yang ditemui media memaklumkan, perkara (cadangan) itu diutarakan beberapa jemaah ketika beliau sedang berjalan menuju ke kenderaan sejurus selesai menunaikan solat Jumaat tadi.
“Ni jalan-jalan ni, tiga empat orang ada cadang itu, ada cadang ini, ada sebut PTPTN, ada seorang pasal rumah,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas diajukan soalan mengenai persediaan beliau menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen yang dijadualkan kira-kira pukul 3.30 petang ini.
Ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan dan meluluskan perkara yang dicadangkan jemaah itu, Anwar hanya ketawa sebelum beredar meninggalkan Masjid Putra.
Perdana Menteri dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen petang ini yang membawa tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, selaras usaha kerajaan mempercepatkan transformasi ekonomi negara melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. – UTUSAN
The post Jemaah solat Jumaat ambil peluang tanya Anwar mengenai Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.



![[LIVE] Saksikan Siaran Langsung Pembentangan Belanjawan 2027 Oleh YAB Perdana Menteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/10/belanjawan-2-300x158.jpg)


