68,177 pekerja hilang pekerjaan setakat 16 September

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 5:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 68,177 pekerja hilang pekerjaan setakat 16 September

PETALING JAYA: Seramai 68,177 pekerja kehilangan pekerjaan bagi tempoh Januari hingga 16 September lalu, meningkat seramai 15,196 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit merupakan antara sektor yang paling terjejas.

Bagaimanapun, katanya, pasaran buruh secara keseluruhan kekal berdaya tahan dengan jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.37 juta orang setakat Julai lalu.

“Jumlah penduduk bekerja pula meningkat kepada 16.85 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

“Kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus seperti bulan sebelumnya, melibatkan 520,300 penganggur.

“Ini menunjukkan keadaan pasaran buruh secara keseluruhannya masih berada pada tahap stabil,” katanya ketika Taklimat Krisis Tenaga Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 15 Tahun 2026, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, kerajaan sentiasa berwaspada terhadap tekanan yang dihadapi sektor tertentu susulan peningkatan kehilangan pekerjaan tersebut.

Katanya, menerusi Sistem Insurans Pekerjaan dan portal MYFutureJobs, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan penempatan semula pekerjaan kepada 143,653 pekerja bagi tempoh Januari hingga 11 September lalu.

“Ini menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara berkembang sekitar lima peratus tahun ini, manakala inflasi keseluruhan dijangka berada dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus.

“Unjuran itu menunjukkan asas ekonomi negara masih berdaya tahan walaupun ketidaktentuan luaran kekal tinggi,” katanya. – UTUSAN 

The post 68,177 pekerja hilang pekerjaan setakat 16 September appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved