
SERDANG – Usaha memperkukuh pengeluaran padi tempatan perlu diteruskan bagi memastikan sekuriti makanan negara tidak terjejas sekiranya berlaku gangguan bekalan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan geopolitik semasa menunjukkan apa sahaja kemungkinan boleh berlaku termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan dan pengangkutan laut yang akhirnya boleh menyebabkan bekalan beras import terjejas atau harganya meningkat.
“Kita sekarang bernasib baik kerana beras yang kita import agak murah. Tapi kita tak boleh bergantung sebegini selamanya.
“Dalam keadaan geopolitik yang berlaku sekarang ini, apa sahaja boleh berlaku. Kalau tersekat aliran perjalanan di laut dan sebagainya, maka kita akan hadapi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas peluncuran Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem padi dan beras negara termasuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh rantaian bekalan serta memperluas penggunaan teknologi dan inovasi.
Katanya, usaha membuka semula kawasan padi yang terbiar dan menaik taraf kawasan sawah sedia ada turut diteruskan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.
“Padi ini perkara yang kita tak boleh jemu untuk berikhtiar kerana ia adalah soal sekuriti makanan.
“Kawasan-kawasan baru yang terbiar perlu dibuka semula dan kerajaan akan membantu sekadar yang boleh untuk membuka kawasan-kawasan baru,” katanya.
Beliau berkata, antara kawasan yang sedang dibangunkan ialah di Pekan, Pahang, manakala di Selangor, usaha membuka kawasan tertinggal serta menaik taraf kawasan lama turut dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.
“Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan dan Internet Pelbagai Benda dalam sektor padi perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan produktiviti.
“Perubahan sikap serta kesediaan pemain industri dan rakyat untuk menggunakan teknologi juga penting bagi memastikan usaha pemodenan sektor pertanian mencapai matlamat,” katanya.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 hari ini, beliau berkata, keterjaminan makanan merupakan antara asas penting yang perlu diberi perhatian dalam sebuah negara merdeka.
“Kita bukan sahaja mahu bekalan makanan sentiasa mencukupi, tetapi mahu meningkatkan produktiviti, memperkukuh rantaian bekalan, memperluas penggunaan teknologi, menggalakkan inovasi dan membuka lebih banyak peluang penciptaan nilai kepada seluruh rantaian industri,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Bekalan beras negara terus diperkukuh appeared first on Kosmo Digital.





