Jangan sombong waktu makanan mencukupi, negara bergolak jadi peringatan – Mat Sabu

LocalFood
31 Aug 2026 • 6:31 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Keterjaminan makanan tidak seharusnya dipandang remeh hanya kerana bekalan makanan negara ketika ini masih berada pada tahap mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Image from: Jangan sombong waktu makanan mencukupi, negara bergolak jadi peringatan – Mat Sabu

Foto: Utusan Malaysia

Memetik laporan MalaysiaGazette, menurut Mohamad Sabu, situasi yang berlaku di Gaza wajar dijadikan iktibar bahawa makanan boleh bertukar menjadi keperluan paling bernilai apabila bekalan terputus, khususnya ketika manusia berdepan konflik dan krisis kemanusiaan.

“Waktu makanan ini kita ada lebih, kita kadang-kala sombong dan boros,” katanya ketika berucap meluncurkan Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Mohamad berkata, keadaan penduduk Gaza yang terpaksa mengutip serta mengasingkan makanan yang bercampur pasir selepas gandum yang dibawa tumpah menunjukkan betapa tingginya nilai makanan apabila manusia berada dalam keadaan terdesak.

“Bila gandum yang dibawa itu tumpah, mereka kaut dan mereka ayak buang pasir untuk mereka makan yang tumpah itu. Makanan berada dalam keadaan sebegitu rupa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat supaya mengelakkan pembaziran makanan, terutama nasi, selaras dengan pesan generasi terdahulu yang sentiasa menghargai setiap butir makanan.

Image from: Jangan sombong waktu makanan mencukupi, negara bergolak jadi peringatan – Mat Sabu

Katanya, pada masa lalu, proses menghasilkan padi mengambil masa kira-kira enam bulan, namun kemajuan teknologi dalam sektor pertanian kini membolehkan tempoh tersebut dipendekkan kepada sekitar tiga hingga empat bulan.

“Dulu, bila kita makan nasi, tumpah dia ke lantai, ibu kita ingatkan kutip nasi itu kerana sebiji nasi itu menunggu enam bulan untuk mendapat sebiji nasi,” jelasnya.

Beliau berkata, kebanyakan generasi hari ini juga tidak melalui pengalaman zaman peperangan, sekali gus menyebabkan tahap kesedaran terhadap kepentingan memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin mungkin tidak setinggi generasi terdahulu.

Artikel lain: “Kita perlu berani belajar daripada pengalaman negara lain” – Mat Sabu yakin Malaysia berpotensi perkukuh agro makanan

Sehubungan itu, Mohamad menegaskan bahawa keterjaminan makanan perlu diletakkan sebagai salah satu agenda strategik negara dan tidak hanya dilihat dari sudut pengeluaran sektor pertanian.

“Kita sedang membina masa depan keterjaminan makanan negara,” tambahnya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette (Nizam Zain)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved