
SERDANG: Seni padi di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, seni padi atau paddy art itu julung kali ditampilkan di MAHA 2026.
Beliau berkata, ia menggunakan varieti padi MR 284 dan direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama pihak swasta iaitu Syarikat Serba Wangi Sdn. Bhd. yang membawa jenama Jati.
“Apa yang menarik, kita bukan sahaja melihat sawah sebagai tempat untuk menghasilkan makanan. Kali ini, sawah itu sendiri menjadi sebuah karya seni.
“Paddy Art ini telah mendapat pengiktirafan dan direkodkan dalam MBOR. Selain itu, ia juga akan menjadi salah satu elemen untuk menjadikan agropelancongan,” katanya pada Majlis Peluncuran Laman Padi dan Pengiktirafan Malaysia Book Of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, aplikasi AcroSeeker yang dibangunkan oleh Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd. (ACM) bakal membantu pesawah dalam pengurusan tanah sawah mereka.
“Kalau dahulu pesawah mengenal pasti penyakit dan masalah tanaman secara manual, hari ini kita perlu bergerak ke arah teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk masa depan pertanian yang lebih pintar. Pendigitalan bukan sekadar menggunakan teknologi.
“Pendigitalan mesti membawa manfaat sebenar terutama kepada pesawah. Kita mahu teknologi membantu pesawah membuat keputusan pengurusan tanaman yang tepat dan cekap sekaligus memberikan hasil yang baik,” katanya. – UTUSAN
The post MAHA 2026: Seni padi dapat pengiktirafan MBOR appeared first on Utusan Malaysia.






