Micron baru sahaja mengadakan pembentangan kewangan untuk suku ketiga 2026 mereka, dan menurut minit mesyuarat yang diperlihatkan oleh mereka, jangkaan syarikat tersebut ialah isu bekalan komponen memori RAM dan storan dijangka akan berterusan sehingga penghujung tahun 2027, dimana ia diharapkan bekalan komponen untuk pusat data AI akan distabilkan.
Dalam pada itu, pengeluaran bekalan komponen memori dan storan untuk peranti-peranti pengguna dijangka akan beransur pulih pada tahun 2028 kelak. Kenyataan ini dilihat cukup menarik kerana Micron telah menarik diri dari pengeluaran komponen RAM dan storan apabila mereka menutup jenama Crucial pada awal tahun ini.
Walaupun begitu, secara teknikalnya Micron masih lagi menghasilkan komponen untuk peranti pengguna sebagai pengeluar cip memori dan storan OEM. Akan tetapi, fokus mereka sekarang adalah terhadap pembangunan dan pengeluaran komponen memori dan storan untuk sektor pusat data dan juga AI.

Sejak tahun lepas, Micron telah mengambil-alih beberapa kilang pengeluaran komponen dan menaiktarafkan kilang pengeluaran mereka sendiri di Singapura untuk menampung permintaan komponen memori dan storan yang tinggi. Dalam pada itu, mereka juga sedang membangunkan kilang pengeluaran komponen terbesar mereka di New York yang akan menelan belanja $100 bilion yang akan menghasilkan 40 peratus daripada pengeluaran keseluruhan syarikat tersebut menjelang 2040.
Tetapi kenyataan Sanjay Mehrota, CEO Micron berkenaan bekalan memori untuk peranti pengguna yang akan mula pulih pada tahun 2028 mungkin lebih kepada kilang ID1 di Idaho yang dijangka akan mula beroperasi pada kapasiti penuh pada tahun 2028.
Menariknya, kami juga telah melaporkan bahawa SK Hynix dijangka akan mula memfokuskan kepada pengeluaran komponen memori pengguna setelah meraih pegangan pasaran yang tinggi dalam jualan dan permintaan untuk memori pusat data dan perkakasan-perkakasan AI.




