Bekas ADUN Kenering dilantik sebagai Setiausaha Politik MB Perak

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas ADUN Kenering dilantik sebagai Setiausaha Politik MB Perak
Mohd Tarmizi (kanan) mengangkat sumpah sebagai Supol Menteri Besar Perak yang baharu di hadapan Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Selasa.

IPOH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris, 64, dilantik sebagai Setiausaha Politik (Supol) Menteri Besar Perak yang baharu.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi laman Facebook pada Selasa.

Lantikan tersebut bagi mengganti Mohamad Hamidi Baharuddin yang meletakkan jawatan 17 Ogos lalu.

"Pagi ini saya menyerahkan watikah pelantikan kepada Setiausaha Politik saya yang baharu, Datuk Mohd Tarmizi Idris.

"Semoga dapat menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaiknya serta bersama-sama membantu melancarkan gerak kerja pentadbiran dan khidmat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Tarmizi pernah menjadi ADUN Kenering selama empat penggal sejak tahun 2018.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau tidak bertanding dan kini memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lenggong.

Pada 20 Ogos lalu media melaporkan Mohamad Hamidi telah meletakkan jawatan sebagai Supol Menteri Besar Perak berkuat kuasa 17 Ogos lalu atas faktor kesihatan.

Perkara itu disahkan Saarani yang memaklumkan menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidi bertarikh 10 Ogos yang memaklumkan keputusan berkenaan serta keperluannya mendapatkan rawatan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved