Jangan jadikan semua perkara sebagai ‘kegilaan politik’ – Rafizi

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 6:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan jadikan semua perkara sebagai ‘kegilaan politik’ – Rafizi

PETALING JAYA: Budaya mempolitikkan setiap perkara kecil perlu dihentikan demi keharmonian negara, kata Pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata, isu dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dijemput secara rasmi ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026 sebagai satu bentuk polemik yang sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Menurutnya,  protokol kerajaan yang menetapkan bekas Perdana Menteri tidak dijemput sebenarnya telah bermula sejak tahun 2018 iaitu pada era pentadbiran Dr. Mahathir sendiri selepas beliau kembali memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu.

“Protokol kerajaan telah ditetapkan bermula tahun 2018 supaya bekas Perdana Menteri tidak dijemput dan protokol itu diteruskan sampai sekarang,” katanya dalam satu video yang tular baru-baru ini.

Jelas Rafizi, adalah mustahil untuk kerajaan di bawah pimpinan Dr. Mahathir pada waktu itu menjemput bekas Perdana Menteri sebelumnya mengikut acuan politik yang berseteru.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Rafizi mempertahankan integriti penjawat awam itu dan menegaskan bahawa kenyataan rasmi kerajaan tidak boleh dipertikaikan kesahihannya.

“Kenyataan daripada Datuk Halim, KSU Kementerian Komunikasi, ni orang baik. Siapa yang kenal dia, dia orang baik, dia tak pernah campur politik, menteri di belakang kiralah tapi dia orang baik.

“Kenyataan dia ialah protokol kerajaan telah ditetapkan bermula tahun 2018 supaya bekas Perdana Menteri tidak dijemput. Protokol itu diteruskan sampai sekarang. 

“31 Ogos 2018, Perdana Menterinya itu Tun M dan kita fahamlah kalau itu berlaku di bawah Tun M dulu yang mana bekas Perdana Menteri tidak dijemput, takkan dia nak Najib duduk sebelah dia?” katanya.

Tambah beliau, tindakan Dr. Mahathir yang tidak menjemput Datuk Seri Najib Tun Razak pada Hari Kebangsaan 2018 sebagai satu keputusan pentadbiran yang wajar difahami mengikut landasan masanya.

“Jadi bagi saya, sebenarnya perkara itu kalau kita faham konteks dia, latar belakang dia, tak perlulah diperbesar-besarkan dan dijadikan bahan politik kerana itu adalah hasil daripada konteks semasa itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau turut menyokong tindakan Tun M yang tidak menjemput  Najib pada masa Sambutan Hari Kemerdekaan 2018.

“Saya sokong tindakan Tun M tak jemput Najib pada masa itu. Kalau Najib dijemput pun saya akan marah.

“Saya rasa Tun M pun tak bising kenapa dia tidak dijemput untuk hadir. Dia nak tengok, biarlah pergi tengok. Masalahnya sekarang, semua benda nak dipolitikkan,” katanya.-UTUSAN

The post Jangan jadikan semua perkara sebagai ‘kegilaan politik’ – Rafizi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved