SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli DAP, berkuat kuasa Isnin.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, meskipun tidak lagi berperanan sebagai ahli politik, beliau akan kekal berkhidmat demi kepentingan negara dan bersama individu yang mempunyai pemikiran serta minat sama.
Menurut Kian Ming, dirinya juga tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat, malah tidak berniat mahu bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau turut menyatakan komitmen membantu Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kempen PRU16 sepertimana janjinya pada 10 Januari lalu jika bekas Menteri Kesihatan itu diberi kerusi untuk bertanding.
"Saudara Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP) dan Khoo Poay Tiong (Setiausaha Organisasi Kebangsaan), saya menulis untuk memaklumkan, saya meletak jawatan sebagai ahli DAP berkuat kuasa 31 Ogos 2026. Nombor keahlian saya S04-1916-0142612.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara," katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook.
Kian Ming turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tony Pua kerana menjemput dirinya menyertai DAP selain memberi panduan mengenai cara terbaik berkhidmat untuk parti dan negara sepanjang 14 tahun lalu.
"Saya juga berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Serdang dan Bangi termasuk sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP.
"Selain itu, saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang serta Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan," ujarnya lagi.
Kian Ming memaklumkan bakal terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk podcast 'Are We OK'.
Untuk rekod, Kian Ming menyertai DAP pada 2012, kemudian memegang jawatan Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018.
Beliau juga Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022 dan Timbalan Menteri MITI (2018 hingga 2020).
Bukan itu sahaja, Kian Ming merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP antara 2019 hingga 2022 dan ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor (2018 hingga 2024).





