
PUTRAJAYA: Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo memilih untuk ‘mengunci mulut’ dalam mengulas keputusan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang meletak jawatan sebagai ahli DAP, bermula hari ini.
“Tiada politik hari ini,” itu ringkasnya sebaik diajukan soalan oleh wartawan ketika ditemui sejurus tamat sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, beliau belum membaca apa yang dinyatakan Kian Ming itu dan memilih untuk menangguhkan sebarang ulasan berhubung perkara itu pada masa lain.
“Tidak, bukan hari ini. Saya belum baca apa-apa yang dikatakannya, jadi mari kita tangguhkan ke masa lain,” katanya.
Terdahulu, Kian Ming dalam kenyataan di Facebook memaklumkan beliau meletak jawatan sebagai ahli DAP, berkuat kuasa hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu dilaporkan berkata, walaupun tidak lagi berperanan sebagai ahli politik, beliau akan kekal berkhidmat demi kepentingan negara dan bersama dengan orang yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-16, seperti mana janjinya pada 10 Januari lalu.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan ketika ditemui berkata, keputusan Kian Ming untuk meninggalkan parti adalah hak peribadinya yang perlu dihormati.
“Secara peribadi, saya menghargai jasa Kian Ming terhadap dirinya sebelum menjadi wakil rakyat, termasuk memberinya peluang serta mempersiapkannya membawa bendera DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya fikir itu sudah tentu hak dia. Tapi secara peribadi, saya amat menghargai pertolongan dia sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi.
“Jadi saya amat menghargai apa yang Dr Ong telah buat untuk saya sendiri dan sudah tentu dia juga ada jasa pada parti,” katanya.
Mengulas kenyataan Kian Ming yang mahu membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pada PRU-16, Syahredzan berkata, perkara itu juga adalah haknya selepas tidak lagi menjadi ahli parti.
“Itu juga dia punya keputusan. Bila dah tak ada parti lagi, sudah tentu dia bebas untuk membantu siapa-siapa pun,” katanya. – UTUSAN
The post Ong Kian Ming keluar DAP: Gobind enggan ulas, ‘tiada politik hari ini’ appeared first on Utusan Malaysia.





