Budaya mengampu dalam DAP tak sesuai dengan Kian Ming – Ramasamy

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 6:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Budaya mengampu dalam DAP tak sesuai dengan Kian Ming – Ramasamy

PETALING JAYA: Budaya mengampu yang wujud dalam DAP membuatkan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming tidak sesuai untuk memainkan peranan sebagai seorang ahli parti yang setia.

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, Kian Ming merupakan individu yang berkemampuan untuk menyediakan analisis pilihan raya dan prestasi parti kerana kemahirannya dalam penggunaan alat dan kaedah statistik.

Katanya, walaupun Kian Ming kelihatan seperti seorang yang bekerja sebagai ahli pasukan, beliau sebenarnya mempunyai pendirian dan pemikiran politik tersendiri.

“Ini antara sebab beliau tidak dicalonkan oleh DAP dalam Pilihan Raya Umum 2022. Pada ketika itu, jelas bahawa Kian Ming tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan tertinggi DAP mengenai parti dan masa depannya.

“Dengan latar belakang akademiknya dalam bidang sains politik, Kian Ming memberikan keutamaan kepada analisis bebasnya sendiri terhadap parti dalam konteks politik Malaysia yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP berkata, Kian Ming antara individu terawal yang menyedari kemerosotan sokongan masyarakat India terhadap DAP akibat peminggiran dan penyingkiran pemimpin-pemimpin India dalam parti tersebut.

“Kian Ming juga merupakan seorang tokoh yang dihormati di luar lingkungan DAP. Apabila beliau semakin menjauhkan diri daripada DAP, beliau berusaha menjalinkan hubungan kerja yang rapat dengan Khairy Jamaluddin, yang baru-baru ini diterima kembali menyertai UMNO.

“Selepas meletakkan jawatan, Kian Ming berkata bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk menubuhkan parti politik atau menyertai mana-mana parti yang sedia ada, sebaliknya hanya mahu membantu Khairy dalam usaha politiknya.

“Atas sebab itu, beliau dikritik oleh penyokong pro-DAP kerana bekerjasama dengan seorang pemimpin UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, hakikat sebenar di lapangan adalah UMNO dan DAP yang kini bekerjasama secara simbiosis dalam Kerajaan Persekutuan seolah-olah terlepas daripada perhatian penyokong DAP.

Katanya, Kian Ming tidak menyokong UMNO tetapi sekadar meneruskan persahabatan yang telah terjalin dengan Khairy ketika bekas Ketua Pemuda UMNO itu masih berada dalam kepimpinan politik. – UTUSAN

The post Budaya mengampu dalam DAP tak sesuai dengan Kian Ming – Ramasamy appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved