johardy01/10/2026 - 10:30 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com SHAH ALAM 1 Okt - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat berjumlah RM37.4 juta yang diperuntukkan bagi projek tenaga solar.
Azlizan didakwa menyalahgunakan dana tersebut yang sepatutnya dilaburkan dalam pembangunan projek penjanaan tenaga solar fotovolta berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Pahang.
Menurut pertuduhan, wang itu didakwa digunakan bagi tujuan lain antara Februari hingga Oktober 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Nasir Nordin membenarkan Azlizan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin serta memerintahkannya menyerahkan pasport.
Mahkamah menetapkan 3 November bagi pengurusan kes. Azlizan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi, manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mengendalikan pendakwaan.
Anwar arah semakan tadbir urus UiTM Holdings
Pada 26 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyemak tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings, cabang pelaburan milik penuhnya, susulan kebimbangan mengenai kerugian syarikat tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semakan itu perlu dilaksanakan bersama Naib Canselor UiTM dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri. Beliau turut meminta laporan disediakan bagi mengenal pasti keadaan sebenar syarikat sebelum tindakan lanjut diambil.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 September memaklumkan bahawa siasatannya turut merangkumi pembayaran RM42 juta berkaitan projek solar berkapasiti 50MW di Gambang, Pahang.
Menurut suruhanjaya itu, dana berkenaan didakwa dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek tersebut tanpa kelulusan lembaga pengarah.
SPRM berkata, siasatan masih berjalan berikutan kerumitan aspek teknikal kes itu serta sementara menunggu arahan lanjut pihak pendakwaan. Suruhanjaya itu turut meneliti kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan Anwar.
SPRM memulakan siasatan terhadap UiTM Holdings pada 2023 berhubung kerugian RM157 juta yang direkodkan bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021, bagi meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyalahgunaan dana yang menyumbang kepada kerugian tersebut. - DagangNews.com






