
Kota Kinabalu: Seorang lelaki bekerja sendiri berusia 50 tahun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan RM108,500 berkaitan beberapa projek di Kinabatangan dan Semporna.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdillah Hamzah.
Abdillah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Abdillah didakwa menipu Chong Kong Fah dengan memperdayakannya sehingga mempercayai bahawa tertuduh mengurus beberapa projek iaitu pembinaan jalan konkrit ke SMK Bukit Garam, Kinabatangan; menaik taraf sistem perparitan di Taman Perumahan Bukit Permata, Kinabatangan; membaiki jeti terapung di Dataran Lepa-Lepa, Semporna; menaik taraf jalan di kawasan Dolton Town, Semporna; dan membaiki rumah di Semporna.
Pertuduhan menyatakan Chong memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun syarikat bernama Dilwani Enterprise, yang tidak akan dilakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 23 Jun 2016 dan 5 Disember 2018 di Maybank cawangan Semporna.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memanggil enam saksi sepanjang perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Hafizah Anggu hadir bagi pihak TPR Arfa Anchal Khan manakala peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip mewakili Abdillah.
Sementara itu seorang lelaki berusia 64 tahun mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan parang.
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menangguhkan hukuman terhadap Paul Akang ke 28 Oktober ini sementara menunggu laporan perubatan dan forensik.
Sementara menunggu tarikh berkenaan, Paul direman lanjut.
Paul didakwa menyebabkan kecederaan serius terhadap lelaki berusia 45 tahun itu menggunakan senjata berkenaan pada jam 5 petang, 21 September lalu di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelansatan, Kuala Penyu.
TPR Ronnie Antony mengendalikan pendakwaan kes berkenaan.






