
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (1 Oktober), bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings, Azlizan Fadzil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM37.3 juta pada tahun 2017.
Bekas CEO Uitm Holdings Didakwa Pecah Amanah Melibatkan Pelaburan Projek Solar Di Gambang
Azlizan, 53, yang hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam berkerusi roda membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, Azlizan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang berjumlah RM37,374,612.68 yang diperuntukkan bagi pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.
Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta terbabit secara tidak jujur dengan menyalahgunakannya menerusi pelbagai pembayaran selain dari tujuan asal yang ditetapkan.
Azlizan didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017 di Affin Bank Berhad Cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah.
Pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara antara dua sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Cadang Ikat Jamin RM100,000, Ada Terima Salinan Perubatan Tertuduh
Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Law Chin How mencadangkan agar tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.
“Jumlah itu munasabah kerana kesalahan berkenaan sangat serius selain kes ini membabitkan reputasi UiTM berkaitan projek solar serta dakwaan ketirisan dana awam.
“Kami juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM tiga bulan sekali,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Pada masa sama, pihak pendakwaan turut mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima salinan laporan perubatan tertuduh yang menunjukkan bahawa dia mengalami strok dan kecacatan kognitif.
Peguam Rayu Dikurangkan RM20,000 Atas Alasan Anak Guam Alami Masalah Kesihatan
Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Hasshahari Johari Mawi merayu agar ikat jamin tersebut dikurangkan menjadi RM20,000 dengan dua penjamin.
Ini kerana jelas Hasshahari, anak guamnya mempunyai masalah kesihatan yang serius serta diserang strok dan mengalami gangguan otak.
“Ekoran penyakit itu, dia tidak mempunyai pendapatan lain maka isterinya terpaksa menyara tujuh anak mereka yang masih belajar, berusia 21 hingga 14 tahun.
“Kami tidak membantah sekiranya mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu pasport anak guam diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan.
“Dia tidak menunjukkan risiko untuk melarikan diri atau mengganggu saksi,” katanya.
Mahkamah Tetapkan Ikat Jamin RM50,000 Dengan 2 Penjamin & Syarat Tambahan
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin selepas mendengar hujah kedua-dua pihak serta menetapkan 3 November sebagai sebutan semula kes.
“Tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan,” kata hakim.
SPRM Buka Kertas Siasatan Berhubung Kerugian Yang Dialami UiTM Holdings
Sebelum ini, SPRM mengesahkan pihaknya telah membuka beberapa kertas siasatan berhubung kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings yang telah berlangsung pada tahun 2023.
Antara projek yang disiasat adalah melibatkan pembangunan projek solar 50MW di Gambang Pahang yang melibatkan bayaran sebanyak RM42 juta.
Projek terbabit didakwa dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
Baca Artikel Berkaitan:
KPT Teliti & Susun Semula Syarikat Pegangan Universiti Termasuk UiTM Holdings






