Bekas eksekutif kanan GLC didakwa guna dokumen palsu tuntut RM15,288

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas eksekutif kanan GLC didakwa guna dokumen palsu tuntut RM15,288
Tertuduh didakwa atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan wang pendahuluan diri dan tuntutan berjumlah RM15,288, antara 2022 hingga 2023.

Mohd Nizam Ibrahim, 50, didakwa dengan curang menggunakan dokumen sebut harga, bayaran tunai dan resit bayaran tunai sebuah syarikat sebagai tulen walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu.

Dokumen itu dikemukakan kepada sebuah organisasi penyelidikan industri dan teknologi bagi mendapatkan wang pendahuluan diri dan wang tuntutan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat organisasi berkenaan di daerah Petaling, antara 22 April 2022 hingga 2 November 2023 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Alimi Mustapha memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Selangor.

Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap berikutan hanya bekerja secara sambilan ketika ini serta perlu menanggung perbelanjaan perubatan isteri serta ibunya.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap awal bulan bermula November ini serta menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember depan. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved