
DUNGUN – Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Roslee Daud, 66, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas hari ini.
Beliau yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Dungun di sini pada pukul l 5.14 pagi.
Anak Allahyarham, Mohd. Hazwan, 40, berkata, bapanya mengadu sesak nafas sewaktu berada di rumah mereka di Bukit Besi pada pukul 4.30 pagi sebelum terus dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Besi, di sini.
“Ayah saya (Roslee) kemudiannya dirujuk ke Hospital Dungun. Bagaimanapun, sebaik tiba, beliau disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
“Sebelum ini, arwah mula tidak sihat sejak dua lalu dan kerap mendapatkan rawatan jantung di Hospital Dungun dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Hazwan berkata, bapanya, Roslee baru menjalani prosedur angioplasti koronari di HSNZ pada 1 Okt lalu.
Beliau berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, di sini selepas solat Zohor semalam.
Roslee yang mewakili Barisan Nasional (BN) mula berkhidmat sebagai wakil rakyat Bukit Besi selama dua penggal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan PRU-14. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas Exco Terengganu, Roslee Daud meninggal dunia appeared first on Kosmo Online.






