
KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu bas maut selepas skuter ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Faizal Salleh, 48, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Faizal dikatakan dalam perjalanan ke depoh bas di Chendering dari rumahnya di Batu Hampar, Manir, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, skuter Honda Vario ditungganginya mangsa (Mohd. Faizal) yang merupakan pemandu bas Bas.My dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta Proton Wira dipandu peniaga berusia 39 tahun gagal mengelak lalu merempuh skuter mangsa,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, mayat Mohd. Faizal telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk tindakan lanjut.
“Pemandu kereta Proton Wira pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama setelah mengadu sakit dada. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu bas tunggang skuter maut bertembung Proton Wira appeared first on Kosmo Online.




![[KEMASKINI] Dua mangsa maut nahas Wira, Exora dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/3cf87546-ac37-4c54-a72c-10da5a171570.jpeg)
