Bekas Finalis MasterChef Malaysia Dipenjara 34 Tahun Kerana Bunuh Pembantu Rumah

LocalPolitics
23 Jun 2025 • 10:21 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam (22 Jun) telah menjatuhi hukuman penjara 34 tahun terhadap seorang wanita yang juga bekas finalis MasterChef Malaysia dan bekas suaminya atas kesalahan membunuh pembantu rumah mereka pada empat tahun lalu.

Selain penjara 34 tahun, tertuduh yang dikenali sebagai Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 44, turut dikenakan hukuman 12 sebatan.

Manakala bekas finalis MasterChef itu, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, pula dikecualikan daripada hukuman sebatan secara mandatori atas faktor jantina mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah bunuh pembantu rumah pada 2021

Memetik Sinar Harian, semasa penghakiman, Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh didapati bersalah membunuh Nur Afiyah Daeng Damin, 28, yang bekerja sebagai orang gaji di rumah mereka di sebuah kondominium di Penampang, Sabah antara 8 hingga 11 Disember 2021.

Menurut Lim, pihak pendakwaan telah membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah dan pihak pembelaan pula gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan.

Jelasnya, pendakwaan berjaya membuktikan secara jelas elemen-elemen penting termasuk mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dilakukan dengan niat mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan dan kedua-duanya bertindak dengan niat bersama.

Kekejaman yang dialami oleh mangsa tidak boleh diabaikan

Mahkamah turut menegaskan bahawa walaupun kedua-dua peguam bela mengemukakan rayuan secara bersungguh-sungguh, namun kekejaman yang dialami oleh mangsa tidak boleh diabaikan.

Selain itu, mahkamah turut mengambil kira jenis kecederaan serta cara ia dilakukan dalam tempoh masa yang panjang.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Mohammad Ambree diwakili peguam Datuk Ram Singh, manakala Etiqah diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh.

Source: