Bekas GM Felda Direman 5 Hari Bantu Siasatan SPRM

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 5:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bekas GM Felda Direman 5 Hari Bantu Siasatan SPRM

PUTRAJAYA - Seorang bekas pengurus besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) direman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung transaksi tanah dan pelantikan projek yang disyaki meragukan.

Perintah reman terhadap lelaki berusia lewat 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, selepas permohonan dibuat SPRM.

Suspek tiba di kompleks mahkamah dengan menaiki kenderaan SPRM dan memakai baju berkolar hijau.

Beliau ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas hadir di ibu pejabat agensi berkenaan bagi memberikan keterangan kepada SPRM.

Siasatan dijalankan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan pelantikan pemaju bagi satu projek di ibu negara, selain penjualan tanah milik Felda kepada sebuah syarikat swasta yang mempunyai kaitan.

Kedua-dua transaksi itu dipercayai dilaksanakan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah Felda dan anak syarikat berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan rasuah dan suapan.

Jika sabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Penahanan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa isu berkaitan sebuah anak syarikat Felda akan didedahkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi mengenal pasti dan membanteras kelemahan institusi. - Getaran, 7 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved