Ops FELLA: Bekas pengurus besar Felda direman lima hari

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 1:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ops FELLA: Bekas pengurus besar Felda direman lima hari
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan pelantikan sebuah syarikat pemaju bagi projek di Kuala Lumpur serta penjualan tanah milik badan berkanun itu.

Perintah reman bermula Isnin sehingga 11 September itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Suspek yang berusia lewat 60-an merupakan antara dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an yang dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Kedua-duanya disyaki terbabit dalam penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan pihak pemaju tanpa pengetahuan lembaga pengarah serta anak syarikatnya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk bekas pengurus besar sebuah badan berkanun bergelar ‘Datuk’ kira-kira jam 4 petang Ahad selepas mereka hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Minggu lalu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Siasatan khas berskala besar yang dikenali sebagai ‘Ops FELLA’ itu memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pemerolehan aset oleh pengurusan Felda serta FIC antara 2010 hingga 2020.

Enam daripada tujuh kertas siasatan berkenaan dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi merupakan kes lama yang masih aktif dan sedang melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

Antara yang disiasat ialah pelaburan dalam Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpangkalan di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah dan pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.

Siasatan turut meliputi penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd; pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dakwaan penyelewengan dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Kes lama membabitkan hartanah Park City Grand Plaza yang masih aktif dan melalui proses MLA turut diteliti secara selari.

Sementara itu, sumber memaklumkan permohonan reman terhadap seorang lagi individu yang kini menerima rawatan dipercayai akibat masalah kesihatan akan dibuat di sebuah hospital pada Isnin. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved