KANGAR - Aktivis yang direman bagi membantu siasatan kes pencerobohan tanah di Bukit Lagi, di sini dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman dua hari terhadapnya tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 55 tahun itu dibebaskan pada jam 3 petang tadi.
"Dua kertas siasatan termasuk kes hasutan di media sosial berkaitan isu perobohan sebuah kuil dikemukakan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Jumaat lepas, polis mengesahkan lelaki yang bekerja sebagai jururunding itu direman dua hari bagi membantu siasatan kes berunsur hasutan sebelum ditahan semula selepas tempoh reman awal terhadapnya berakhir pada Sabtu.
Kes pencerobohan tanah disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan manakala kes hasutan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama






