Bekas Pengarah Besar Felda antara dua individu direman bantu siasatan

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 4:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas Pengarah Besar Felda antara dua individu direman bantu siasatan
Perintah reman terhadap bekas Pengarah Besar Felda dikeluarkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin.

PUTRAJAYA - Dua individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk yang merupakan bekas Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) direman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dalam perlantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.

Perintah reman selama lima hari sehingga 11 September 2026 terhadap bekas pengarah besar berusia dalam lingkungan 60-an telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Dalam pada itu, Majistret Ezrene turut mengeluarkan perintah reman selama tiga hari sehingga 9 September 2026 terhadap seorang lagi suspek yang mempunyai masalah kesihatan di Hospital Putrajaya.

Kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

SPRM sebelum ini memanggil dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Kedua-dua individu itu disyaki terbabit dalam urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat.

Media melaporkan SPRM menahan dua individu, termasuk seorang bekas pengarah besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk pada jam 4 petang Ahad, ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Minggu lalu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Abd Halim dilaporkan berkata penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai Ops FELLA itu menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun, iaitu antara 2010 hingga 2020.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved