Bekas isteri Najib Razak meninggal dunia

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 4:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas isteri Najib Razak meninggal dunia

PETALING JAYA – Bekas isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar dilaporkan meninggal dunia.

Berita pemergian Allahyarham pada usia 70 tahun itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Najib, hari ini.

Menurut hantaran tersebut, Allahyarham pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup Najib selain merupakan ibu kepada anak-anak mereka.

“Dengan penuh rasa dukacita, kami ingin menyampaikan berita pemergian Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, bekas isteri kepada Datuk Seri Najib Razak, yang telah kembali ke rahmatullah.

“Allahyarhamah pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup Datuk Seri Najib dan merupakan ibu kepada anak-anak mereka,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu, hantaran berkenaan turut memaklumkan bahawa Najib tidak dapat bersama keluarga pada saat yang menyedihkan berikutan keadaan beliau ketika ini.

Bagaimanapun, ingatan dan doa bekas Perdana Menteri keenam itu sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Walaupun Datuk Seri Najib kini berada dalam keadaan yang tidak memungkinkan beliau bersama keluarga pada saat yang menyedihkan ini, ingatan dan doa beliau sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.

“Kami mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal ibadahnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran sama.

Hantaran itu turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Untuk rekod, Tengku Puteri Zainah merupakan isteri pertama Najib sebelum pasangan itu berpisah.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Nizar, Nazifuddin dan Puteri Norlisa.
Najib kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Rosmah Mansor pada tahun 1987.– KOSMO! ONLINE

The post Bekas isteri Najib Razak meninggal dunia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved