amree05/11/2026 - 17:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov — Bekas isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, meninggal dunia pada Khamis dalam usia 70 tahun.
Berita sedih pemergian Allahyarhamah itu dimaklumkan sendiri oleh anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi satu hantaran ringkas dalam akaun sosial rasmi Facebook beliau.
Melalui hantaran berkenaan, Nizar meluahkan kesedihan atas kehilangan ibunya selain menzahirkan penghargaan terhadap segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang diberikan sepanjang hayatnya.
Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan itu turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa ibunya, melimpahkan rahmat serta menempatkan Allahyarhamah dalam kalangan penghuni syurga Firdaus.
“Terima kasih, ibu, atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hidupmu. Tiada apa yang mampu membalas segala yang telah ibu lakukan,” tulis beliau dalam hantaran berkenaan.
Mohd Nizar yang juga merupakan ADUN Peramu Jaya dan Exco kerajaan Pahang, turut menyatakan bahawa Allahyarhamah akan sentiasa hidup dalam doa serta kenangannya sendiri sebagai seorang anak.

Sehari sebelum itu, beliau menerusi Facebook turut memohon orang ramai mendoakan kesembuhan ibunya yang dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Gleneagles Ampang, Selangor.
Tengku Puteri Zainah yang bernikah dengan Najib pada 1976 sebelum berpisah pada 1987, meninggalkan tiga orang anak hasil perkahwinannya tersebut, iaitu Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.
Najib merupakan Perdana Menteri yang keenam dari 3 April 2009 hingga 9 Mei 2018, sebelum kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas secara mengejut kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas disabitkan atas kesalahan dana SRC International Sdn Bhd, iaitu bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 18 September 2026, Najib mendapat pengampunan bersyarat yang membenarkannya menjalani baki hukuman kes di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. - DagangNews.com





