Bekas joki kereta kekal bebas pertuduhan rogol

4 Aug 2026 • 6:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas joki kereta kekal bebas pertuduhan rogol
Panel hakim sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang bekas joki kereta daripada pertuduhan merogol seorang wanita di kawasan parkir sebuah pusat hiburan pada 2023.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin serta dianggotai Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Menyampaikan keputusan panel, Noorin berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap B Satia melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata, tiada bukti DNA Satia ditemui pada tubuh mangsa mahupun di dalam kereta yang didakwa menjadi lokasi kejadian rogol.

"Mahkamah Tinggi juga berhak membuat kesimpulan bahawa pengecaman mangsa terhadap tertuduh tidak bebas daripada keraguan," katanya.

Satia, 29, sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 2024 atas pertuduhan merogol seorang wanita yang ketika kejadian berusia 18 tahun di kawasan parkir sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur pada 5.20 pagi, 13 Mei 2023.

Bagaimanapun, pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuannya dengan mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, sekali gus melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Prosiding pada Selasa, Satia diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah dan Nur'afini Mohd Norizam, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved